Thursday, April 13, 2017



Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam , selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad s.a.w , ahli keluarganya serta para sahabatnya yang dimuliakan Allah. 
"Ya Allah , Berkatilah Kami di dalam Rejab dan Sya`ban dan Sampaikan kami kepada Ramadhan. Amin "

Syukur aku telah diberi peluang dan ruang oleh Allah untuk mendengar kuliah percuma di WEBINAR Nouman Ali Khan secara live dengan menggunakan aplikasi ZOOM ( lebih kurang macam skype ). Oleh sebab itu , rasa tergeraklah sikit untuk kongsikan sedikit sebanyak nota yang aku ambil daripada kuliah live itu. Khabarnya hampir 200K orang dari seluruh dunia yang "subscribe" WEBINAR itu dan menonton nya secara live dengan Ustaz NAK. Moga usaha beliau itu dapat menjadikan umat Islam untuk lebih dekat dan mencintai alQuran al-Kareem. Amin. 

Ustaz Nouman Ali Khan (NAK) memulakan sesi malam itu dengan membacakan surah a-lJumua , surah yang ke 62:


يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
" Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana "( 62:1) .




Surah AlJumua adalah merupakan salah satu daripada 28 surah yang dikelaskan sebagai alMusabbihat oleh para `ulama. Kerana setiap surah ini telah memulakan ayatnya dengan sebuah deklarasi akan kesucian Allah Yang Maha Suci oleh si Langit dan juga sang Bumi , antara makhluq ciptaanNya yang sentiasa beribadah kepada Allah. Pada surah alJumua ini juga ada menceritakan berkenaan apakah yang telah Nabi Muhammad s.a.w lakukan semasa menjadi Nabi. 

Sebelum kita menyelam ke dalam surah ini sambil menikmati keindahan hiasan dan pemandangannya , mari kita berfikir sejenak akan suatu perkara yang sering diulang- ulang di dalam alQuran berkenaan satu perumpamaan yang cukup dalam maksudnya, iaitu Air. Dalam FirmanNya :




" . . . dan Allah turunkan hujan daripada langit , maka hiduplah bumi sesudah matinya . . . " (alBaqarah : 164).




Ayuh teman , cuba fikirkan sejenak apa maksudnya hujan yang turun dari langit lalu ia menghidupkan bumi setelah kematiannya ?
Adakah terlintas pada fikiran anda akan sesuatu yang menyerupai situasi ini ?